TG Sheikh Osman Jalaluddin Tokoh Islam Yang Gigih

Sign board Pondok Penanti

Oleh: Tuan Guru Haji Saleh Syeikh Osman

Seorang sasterawan islam Malaysia yang penting kerana mempunyai kebolehan yang luar biasa dalam bidang penulisan Arab dan Melayu berbentuk syair dan prosa dalam berbagai-bagai bidang ialah Sheikh Osman Jalaluddin Al-Siriani Al- Kelantani.

LATAR BELAKANGNYA
Sheikh Osman Jalaluddin yang begitu masyhur di Penanti Bukit Mertajam dan Mekah Al Mukarramah itu di lahirkan di Kampung Panjang Daerah Seriang Kota Baharu Kelantan kira-kira dalam tahun 1880m bersamaan tahun 1300h.Demikian di jelaskan oleh sahabat dan muridnya Tuan Guru Hj Daud Panchor. Bapanya Mohammad bin Abdul Samad, ayah Sheikh Osman adalah seorang berada, seorang bomoh penyakit bertih, puru dan orang gila. Beliau mulai belajar kitab jawi yang pertama daripada Hj Jamal perupuk. Oleh kerana kesulitan perjalanan, beliau terpaksa menetap di sana. Beliau pulang mengunjungi ibu bapanya dua minggu sekali dan juga mengambil belanjanya. Kemudian beliau belajar dengan Dato'Mufti Hj Wan Ahmad di Kota Baharu, beliau pernah juga belajar di Sungai Pinang dan di beberapa tempat lain lagi, demikian mengikut kenyatan anaknya yang sulung Hjh Siti Aminah Selising. Beliau menjelaskan,selepas beberapa tahun belajar Sheikh Osman ingin melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Untuk membiayai pelajarannya itu bapanya menjual padi dan kerbau sehingga membolehkan Sheikh Osman ke Mekah.Setelah mendapat keizinan dari gurunya Mufti Hj Wan Ahmad, beliau bertolak ke Mekah.

Mengikut keterangan bukunya"Muthali'ul-Anwar Wajami'ul Azhar" muka 170 cetakan pertama 1352h beliau menulis: "Sesungguhnya kami mulai belajar Furu' Syariah dan lain-lainnya pada tahun 1311h. Maka dalam masa yang tersebut tiada satu perubahan perkara agama daripada kaum kami bahkan bertaklid mereka itu bagi salah satu daripada mazhab yang empat dan banyak ulamak-ulamak yang besar padanya. Dan tatkala adalah pada tahun 1319h kami mula bermukim di Mekah empat tahun, maka tiadalah kami mendapatkan padanya suatu perubahan perkara agama daripada kaum kami maka menimbang oleh kami dengan belajar Furu' Syariah dan alatnya sebelas tahun.

Kemudian, pada tahun 1341h kami kembali bermukim dalam Mekah pula. Maka tiada juga padanya suatu perubahan perkara agama tatkala adalah pada tahun 1343h mengambil oleh kaum Wahabi akan Mekah dan Madinah, maka tatkala adalah pada tahun 1351h maka kami turun ke Jawi pula,dan adalah kami dapat padanya berpecah-pecah kaum kami beberapa puak dan beberapa perselisihan di antara mereka itu. Sheikh Osman kembali ke Kelantan setelah empat tahun di Mekah. Beliau belum berpuas hati lagi dengan ilmu yang ada padanya. Setelah Tuan Guru Kenali pulang dari Mekah beliau belajar di pondoknya. Beliau pernah menjadi pembantu Tok Kenali mengajar kitab-kitab Fekah kepada para pelajar yang berpondok di situ. Selepas itu beliau cuba membuka pondok di Pasir Kasar Seriang, disamping mengajar beliau bekerja membuka kebun getah, setelah dua tahun pondok itu ditutup,beliau berpindah ke Kampung Tapang tidak lama kemudian pondok di situ juga ditutup. Pada akhirnya beliau membuka pondok di Lapah Bukit Abal, Pasir puteh. Disamping itu, beliau juga membuka kebun. Pondok di sini menerima nasib yang malang setelah dua tahun lebih dibuka.

Sheikh Osman tidak putus-putus berulang alik ke Kenali untuk menambahkan ilmu pengetahuannya, Tok Kenali memberi nasihat kepadanya sebagaimana Katanya: "Engkau pergilah belajar lagi, ilmu kamu belum cukup!!" Atas nasihat itu maka Sheikh Osman pun berangkat ke Mekah pula bersama-sama anak dan isterinya. Isteri dan anak lelakinya yang dibawa ke Mekah itu telah meninggal dunia belum sempat menunaikan haji. Sheikh Osman tinggal di Mekah dan menambahkan pelajarannya dengan bersungguh-sungguh. Beliau belajar Hadis dan Tafsir dengan Sheikh Umar Hamdan dan Sheikh Ali Maliki. Belajar ilmu Fekah kepada Sheikh Said Yamani, Mufti Syafi’i Mekah, dan kepada Sheikh Mukhtar `Atharid Al Jawi kitab Tahfat manakala dengan Sheikh Muhamad Fathani kitab Mahali. Berkat kesungguhannya dan doanya kepada Allah beliau menjadi seorang ulamak yang diberi tugas mengajar di Masjidil Haram Di qashashah dan di Suukil lail.

Setelah berkahwin dengan Hjh Sarah binti Hj Mohamad Soleh, beliau hidup aman damai di Mekah dan mengajar bersungguh-sungguh. Pernah pada hari-hari malam Jumaat, beliau beriktikaf di Maqam Nabi Muhammad S.A.W dari isyak sampai subuh tanpa keluar. Manakala pada siang hari beliau berpuasa. Ketika iktikaf itu beliau meminta :
1) Kaya ilmu
2) Kaya amalan
3) Mati di Nekah atau Madinah
4) Membuka pondok di Penanti.

Tidak lama selepas itu, wakil Hj Arshad dan Hjh Tijah dari Penanti yang telah menunaikan haji tertarik hati dengan Sheikh Osman Jalaluddin. Wakil itu bersungguh-sungguh dengan hati yang jujur meminta Sheikh Osman datang ke Penanti untuk mengajar dan membuka pondok. Mereka berdua sanggup menolong Sheikh Osman dan akan memberi tanah untuk tapak pondok itu. Atas permintaan yang bersungguh-sungguh itu, Sheikh Osman memohon hidayah dari Allah dan bersembahyang istikharah. Beliau merasai apa yang di minta oleh wakil Hj Arshad dari Penanti itu menunjukkan doanya di maqam nabi itu dimakbulkan Allah S.W.T, kerana di penanti dirasainya lebih sesuai untuk membanyakkan amalan dan menyebarkan ajaran Islam. Setelah keluarganya bersetuju, maka Sheikh Osman bersama keluarganya pulang ke Malaysia. Menuju ke Penanti Bukit Mertajam beliau terpaksa meninggalkan Masjidil Haram dan Mekah tempat mengajarnya. Di Penanti, beliau membuka pondok di atas tanah Hj Arshad dan Hjh Tijah itu, dengan nama:
"MANABIL-UL ULUM MATHOLI UL NUJUM" bermakna (Tempat terpancarnya ilmu pengetahuan dan tempat naiknya segala bintang-bintang)

Nama ini ialah sebagai satu restunya kepada Allah Taala, agar pondok itu melahirkan cahaya ilmu yang dapat memancar ke seluruh negara. Dan lahirnya tokoh-tokoh dan pejuang-pejuang islam, pondok ini telah di dirikan pada tahun 1932M setelah pondok ini mulai di kunjungi oleh para pelajar, maka telah ditakdirkan oleh Allah dimana berlaku satu krisis di mana Sheikh Osman di batalkan dari hak memiliki tanah tersebut. Dengan penuh perasaan sedih Sheikh Osman berpindah ke satu tempat bernama kampung Patani dengan pondok-pondok di usung ke sana.Berkat keikhlasan tuan tanah itu, krisis penukaran nama tanah itupun dapat diatasi maka pondok-pondok itu terpaksalah diusung ke tempat asal. Sejak itu, pondok ini berkembang dengan pesatnya, sehinggalah ramai pelajar yang datang di sana, pelajar-pelajar dari seluruh Malaysia barat dan timur, Indonesia, Kemboja dan Thailand. Madrasah ini sekarang di bawah pimpinan Hj Salleh J.P bin Sheikh Osman Jalaluddin dan menjadi pusat dakwah islamiah yang sering di kunjungi oleh mubaligh-mubaligh dari India, Pakistan, Iraq dan Arab.

MENGAJAR DAN MENGARANG
Sheikh Osman memenuhkan masa malam dan siangnya dalam usaha mengembangkan ajaran islam baik melalui lisan atau melalui penulisannya. Menurut bekas muridnya di Mekah iaitu Hj Abdul Rahman Lubuk Tanah dan muridnya di Penanti Mohamad bin Taib bekas wakil rakyat di sini bahawa Sheikh Osman sepanjang masanya membaca kitab dengan sebatang pena ditangannya di dalam sebuah bilik yang khas untuknya. Sheikh Osman banyak menumpukan masa hidupnya kepada mengajar dan mengarang. Sifatnya yang cintakan islam dan kaum muslimin tampak jelas sekali dalam kitab karangannya, dia mempertahankan ajaran islam dari perkara-perkara kurafat dan bidaah. Beliau juga satu-satunya orang yang menentang ilmu esei.

Didalam kitabnya Masobih Al Jinan Wal Maftahul Hinan antara lainnya beliau menulis, Ayuhai Ikhwan jangan tuan hamba diperdayakan dengan ahli Tasauf yang jahil, yang mendakwa pada mereka itu ilmu isei yang sebenar dan iaitu Ilmu Rohya dalam erti kata lain Ilmu Hakikat, kerana bukannya ilmu hakikat bahkan ilmu bidaah yang sesat dan mengadakan akan orang-orang yang mubtadi' (membuat bidaah)yang dahulu kala kerana hendak menyesatkan orang-orang islam,maka jika tuan hamba dapat yang pelik-pelik daripada yang tiada mempunyai ilmu janganlah tuan hamba memakai akan dia melainkan kemudian daripada mengesahkandia pada orang yang alim yang mashyur dengan ilmunya. Kerana tiada mengetahuikan ilmu yang sebenar atau tiadanya melainkan orang yang alim.

Sheikh Osman juga tidak suka melihat kaum muslimin berpecah belah, sebab itu bila ada perpecahan atau perselisihan dikalangan umat islam beliau terus mengarang kitab untuk menerangkan kedudukkan sebenar setelah selesai beliau pergi di kawasan itu memberi syarahan,selepas syarahan beliau memberi kitab-kitab itu kepada para pendengar dengan bayaran yang murah. Didalam bukunya Matholi Ul Anwar Wa Jami'Ul Azhar beliau menulis:
"Maka tatkala adalah tahun 1351h maka kami turun ke Jawi (Malaysia)pula, maka kami mendapat padanya berpecah-pecah kaum kami beberapa puak dan beberapa perselisihan diantara mereka itu. Maka setengah daripada kaum kami Auzubillah Huminal Taklid" dan beliau menerangkan ada pula golongan yang berpendapat: Bahawa Fekah itu karut,bagi ulamak-ulamak Fekah dan bahawasanya imam-imam yang empat itu ketiadaan ma'asum kerana mereka itu bukanlah nabi dan bukan pula sahabat nabi" inilah yang mendorongkan Sheikh Osman mengarang kitab itu.

Katanya "kami mengarang kitab ini kerana ingin menzahirkan dan menyatakan segala mazhab yang tiga (Wahabi, Ibnu Hazmin, Ibnu Taimiyah) itu bagi kaum kami supaya kaum kami dapat memilih dan menghalusi dengan beberapa tilikan dan fikiran, adakah betul mazhab yang tiga ini atau tidak?? Dalam bukunya yang tebal itu Sheikh Osman menjelaskan dengan terperinci pendapat-pendapat mazhab Wahabi, Ibnu Hazmin dan Ibnu Taimiyah dan menjelaskan dimana titik bersalahan dengan ahli Sunnah Waljamaah. Beliau juga menerangkan perkembangan ilmu feqah termasuklah mazhab-mazhab syiah zaidiah, syiah amamiah, mazhab Sufyan As-Sauri dan mazhab Al-Auza`i.

Beliau memberi nasihat supaya mengikut ahli Sunnah Waljamaah, antara lain beliau berkata "bahawasanya apa yang diatasnya ahli Sunnah Waljamaah itu ialah yang sebenar-benarnya, maka barangsiapa yang keluar daripada mereka itu sesungguhnya melontar ia akan dirinya didalam sunyi dan kelam jahil. Sabda Nabi SAW: "A'laikum bil jama'ah faman shazza a'nil jama'ah shazza finnar? yang bermaksud "hendaklah kamu berpegang dengan ahli Sunnah Waljama'ah maka sesiapa yang mengasing dari jamaah sesungguhnya ia telah mengasingkan dirinya ke dalam neraka!!"

Di dalam bidang tasauf pula, dia mempunyai pandangan-pandangan moden sekali kerana zuhud baginya tidak meninggalkan kerja dan tidak meninggalkan perniagaan, beliau menegaskan zuhud: Iaitu tiada bergantung hati dengan harta, jikalau banyak harta sekalipun bukan bererti tiada harta dan meninggalkan perniagaan serta lain-lainnya. Misbahul Jinan Wa Miftahul Hanan (halaman 17-18)

Dalam usahanya untuk membasmi khurafat dan ajaran-ajaran yang salah, beliau terpaksa bermusafir ke seluruh Malaysia terutama ke negeri Kelantan, Terengganu, Melaka, Johor, Selangor dan sebagainya. Dan di mana-mana pun beliau tidak menghadapi kesulitan kerana murid-muridnya sedia membantu beliau. Dengan pidato-pidatonya yang bersemangat itu, dia dapat mengikis kesalahan-kesalahan masyarakat sehingga dapat membetulkan kembali sebagai mana yang diterangkan oleh Wan Soleh b. Wan Ibrahim imam Pasir Pekan Kelantan yang pernah mengikuti syarahan Sheikh Osman.

KITAB-KITAB KARANGANNYA
Bila kita mengkaji kegiatannya kita dapat rasa kebolehannya luar biasa kerana dalam masa yang tidak begitu lama beliau telah berjaya mengarang lebih sepuluh buah kitab baik di dalam Bahasa Arab atau Bahasa Melayu, di dalam bukunya Bahasa yang diguna adalah mudah difahami oleh pembaca. Buku-buku beliau yang di dapati ialah :
1) MAR’ATUL IMAN*WA MARAQATUL GHALIMAN (Cermin bagi iman dan tangga bagi kafah-kafah) buku ini membahas tentang tauhid, tasauf dan menolak pendapat-pendapat yang karut dan bidaah. Selesai dikarang pada 16 Syaaban 1393h.

2) MISBAHUL HANAN WA MIFTAHUL JINAN* (pelita bagi hati dan kunci bagi syurga) pembacaannya dalam bidang tasauf dan pembersihan hati. Selesai di karang di Kelantan pada 29 Zulhijjah 1330h.

3) SIRAAJUL ISLAM*WA TAJUL GHULAM (Pelita islam dan mahkota kafah) Mengandungi sejarah Nabi Muhammad S.A.W. 3 buah buku diatas dijadikan satu kulit sahaja.

4) FATHUL MU'IN*Arab, Melayu- buku ini terjemahan dari FATHUL MU'IN bahasa arab sempat di selesaikan sebanyak 3 kulit. Selain dari terjemahan Sheikh Osman telah mencatat sejarah-sejarah fekah dan adab, serta fadhilat-fadhilat mengajar dan belajar. Buku ini dikarang di Mekah. Juzuk pertama 1 Zulkaedah 1354h, juzuk kedua 14 Rabi'ul awal 1355h dan juzuk ketiga 12 Jamadil Awal 1355h.

5) NUJUM AL MUHTADIN WA RAJUMUL MUHTADIN. Buku ini mengandungi sejarah para rasul, dan membahas mengenai kaum muda dan kaum tua. Dikarang pada 8 September 1934m.

6) MUTHOLI'UL ANWAR WA MAJAMI'UL AZHAR. Mengandungi tarikh alim ulamak, perselisihan mazhab Wahabi, Ibnu Hazmin dan Ibnu Taimiyah dengan ahli Al sunnah Wal Jamaah serta sejarah dirinya sendiri, dikarang pada tahun 1353h.

7) ANWAR AL HADI WA AMTHARAL NADA (Beberapa cahaya bagi penuntut dan beberapa hujan bagi embun) Terjemahan Tafsir Jalalain. Juzuk pertama 18 Ramadhan 1355h dan juzuk kedua 11 Syawal 1357h.

9) BAGI PELAJARAN ILMU ARAB-TATHRIFUL A'RFUL FI TASRIFUL TASRIF*
Bahasa Arab-Melayu (Pilihan dari bau-bauan yang harum pada taarif ilmu sorof) buku ini dikarang dalam bahasa arab-berbentuk syair kemudian di terjemah ke bahasa arab melayu sebagai kaedah untuk kemudahan para pelajar sorof.

10) ALAMAT KIAMAT. Buku ini membicarakan tentang alamat-alamat kiamat 15 perkara, kedudukkan alim ulamak dunia dan akhirat,masalah syurga dan neraka dan sebagainya, buku ini mengandungi 3 kulit.Dikarang pada 21 SYAABAN 1370h nampaknya buku inilah buku ini yang paling akhir bagi Sheikh Osman mengarang.

Dan nampaknya kebanyakkan buku-buku karangan beliau dicetak di Persama press Penang. Ada dua buah buku lagi yang belum didapati ialah :-
11) QILADATUL AQIYAN FI SYA'BI IMAN (Yang membahas tentang usuluddin dan cabang-cabang iman 78 cabang)
12) TAUDIHUL AHKAMU FI AZAHATUL AUHAMI (Menerangkan perselisihan ulamak-ulamak kelantan pada telekung sembahyang perempuan)

PERIBADINYA
Sheikh Osman seorang yang warak dan suka beribadat. Menurut muridnya Hj Yusuf Bin Hj Said, murid madrasah Irshad Al-Ashraf Al-Watoniah bahawa Sheikh Osman biasa membaca pada malam jumaat surah yassin, surah waqiah dan barrah. Beliau berdoa dan berzikir tiap-tiap malam jumaat beliau membaca selawat Dalailul Khairat, sembahyang tahajud dan sunat dhuha dan berpuasa tiap-tiap hari isnin dan khamis. Beliau suka memakai baju sarung dan sembahyang berjemaah sering di perintah muridnya Hj Talib Bin Hj Puteh atau Hj Abd Rahman Sungai Durian untuk menjadi Imam manakala beliau menjadi makmum, demikian dinyatakan oleh Tuan Guru Hj Abd Rahman Sungai Durian.

Beliau pernah memberi pesanan kepada murid-muridnya supaya beramal dengan ilmu yang dipelajari kerana dunia hampir kiamat. Kepada Tuan Guru Hj Abd Fana Kubang Bemban, beliau memberi nasihat supaya jangan meninggalkan kitab Ihya Ulumuddin dari membaca dan mengkaji.

MENINGGAL DUNIA DI MEKAH
Setelah berjuang dengan gigihnya untuk menyebarkan ajaran-ajaran Islam di Mekah dan diseluruh Malaysia, maka pada 30 Zulhijjah tahun 1372 bersamaan tahun 1952m. Beliau meninggal dunia di Mekah Al-Mukarramah di atas pangkuan anak lelakinya Tuan Guru Hj Salleh pada waktu subuh dalam usia 72 tahun.Jenazahnya di makamkan di Hud berhampiran dengan makam Sheikh Mokhtar `Attharid Gurunya yang di cintai, setelah jenazahnya di sembahyangkan pada waktu asar hari khamis, demikian di nyatakan oleh Tuan Guru Hj Salleh Bin Sheikh Osman Jalaluddin Penanti.

Walaupun beliau meninggal dunia, tetapi ilmunya tetap berkembang dan Madrasah Penanti telah menjadi sebuah sekolah yang begitu banyak melahirkan tokoh-tokoh agama. Sekarang, lulusan sekolah ini diterima memasuki Universiti Madinah, Ma’had Mekah Al-Mukarramah dan Universiti Al-Azhar Al-Syarif di Mesir. Dan kelihatan jelaslah kepada kita bahawa ketiga-tiga doanya di makam Rasulullah S.A.W semasa hayatnya di makbulkan ALLAH S.W.T ini merupakan satu keramat yang di kurniakan oleh ALLAH kepada Tuan Guru.