TG Sheikh Osman Jalaluddin: Riwayat Hidup & Sumbangannya kepada Masyarakat

Oleh: Dr. Fadhlullah Jamil, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM

Al-marhum Tuan Guru Sheikh Osman Jalaluddin telah memainkan peranan yang penting dalam pembangunan masyarakat Islam pada zamannya,khususnya dalam bidang Dakwah dan pendidikan Islam. semasa hayatnya, beliau telah menunjukkan kemampuan yang luar biasa dalam bidang penulisan, yakni dengan menghasilkan karya-karya agama yang bercorak syair mahupun prosa dalam kedua-dua bahasa,Melayu dan Arab.

Kebolehannya itu memang sukar ditandingan oleh yang seangkatan dengannya.Ini kerana beliau bukan sahaja menulis dalam bidang Tafsir, Usuluddin dan Fiqh, malah turut membincangkan sejarah Islam, Hadith serta Tasawwuf.

ZAMAN AWAL
Sheikh Osman Jalaluddin yang masyhur sabagai seorang alim di Penanti, Bukit Mertajam dan Makkah Al-Mukarramah telah dilahirkan di kampung Panjang, daerah Sering, Kota Bharu, Kelantan pada tahun

1880 M/1297 H. Bapanya, Muhammad bin Abdus Samad merupakan seorang yang kaya. Beliau juga terkenal sebagai seorang bomoh yang mahir dalam mengubati penyakit bertih, puru dan penyakit orang gila.

Dalam pada itu, Sheikh Osman Jalaluddin telah menunjukkan minatnya terhadap ilmu pengetahuan sejak zaman kanak-kanak lagi. Beliau mulai mempelajari kitab jawi daripada gurunya, Hj Jamal Perupok. Oleh kerana kedudukkan Kampung Perupok itu terlalu jauh dan perjalanan ketika itu amat, beliau langsung menetap di kampung tersebut.Hanya dua minggu sekali, barulah beliau pulang ke kampungnya untuk mengunjungi ibu bapanya dan untuk mengambil bekalan makanan yang diperlukan. Berikutnya, beliau belajar pula dengan Mufti Hj.Wan Muhammad bin Hj Abdul Samad (1868-1920) di Kota Bharu. Di samping itu,dia pernah juga berguru dengan Hj Abdul Malek di Sungai Pinang dan beberapa orang yang lain. Menurut sistem pendidikan Tradisional yang terdapat ketika itu, Sheikh Osman terpaksa menghafaz kitab-kitab jawi dan meneliti apa yang diulaskan oleh guru-gurunya. Tetapi, dengan kepintaran dan kecekapan yang ada padanya, dia mampu untuk menguasai pengajiannya dan menggunakan Bahasa Arab dengan baik. Walau bagaimanapun, beliau masih tidak berpuas hati dengan pencapaiannya dalam bidang ilmu. Ia bertekad untuk ke Mekah dalam usaha untuk meningkatkan pengajiannya. Oleh kerana pembiayaan yang diperlukan adalah amat banyak,bapanya sendiri telah menjualkan padi dan kerbau untuk menampung setiap sen yang dikehendaki.Setelah mendapat keizinan daripada gurunya, Mufti Hj. Wan Muhammad, beliau pun bertolak ke Mekah melalui jalan laut. Beliau bermukim di Mekah selama 4 tahun.

Ketika di sana, dia mempelajari cabang-cabang (furu') syariat dan lain-lain bidang yang berkaitan dengan Islam. Beliau mendapati bahawa para penduduk Mekah ketika dia di sana masih berpegang kepada salah satu daripada Mazhab Ahli al-sunnah yang empat. Berikutnya, beliau telah kembali ke tanahair. Namun, dia masih belum berpuas hati dengan ilmu yang ada padanya.Lantaran itu, dia memulakan pengajiannya di Pondok Tok Kenali, iaitu setelah Tuan guru itu yang nama sebenarnya ialah Hj. Muhammad Yusuf bin Ahmad, pulang dari Mekah. Hasil ketekunan dan kepintarannya, beliau telah dilantik sebagai pembantu kepada Ulamak besar itu bagi mengajar kitab-kitab Fiqh kepada para pelajar lain. Demikianlah peningkatan awal dalam kehidupan Sheikh Osman selaku seorang alim.

Namun, nasibnya tidaklah sentiasa beruntung. Sejurus kemudian, beliau cuba membuka sebuah pondok sendiri di Pasir Kasar, Sering. Disamping mengajar, dia juga bertungkus lumus sebagai seorang pekebun getah.Setelah 2 tahun, pondok itu terpaksa ditutup kerana kurang sambutan. Dengan tekad baru, dia berpindah ke Kampung Tapang dan memulakan sebuah pondok yang lain. Nasib yang sama juga menimpa dirinya. Tanpa bersedia menyerah kalah, dia menubuhkan pula sebuah pondok di Lepah, Bukit Abal, daerah pasir puteh. Seperti dahulu juga, dia mengajar sambil berkebun. Tetapi setelah lebih dua tahun beroperasi, pondok yang ketiga itu turut terkubur.

Tanpa menghirau kegagalan segala usahanya itu, Sheikh Osman Jalaluddin berulang-alik ke Kenali untuk menambahkan ilmu, selain daripada untuk meminta nasihat gurunya, Tok Kenali, tentang usaha bagi menyambungkan semula projek pendidikannya yang tersendiri. Ketika inilah, Tok Kenali yang sememangnya berpengalaman luas, telah menasihatkan beliau agar menuntut lagi kerana dalam penilaiannya ilmu Sheikh Osman Jalaluddin belumlah mencukupi. Atas nasihat inilah, maka Sheikh Osman berangkat buat kali keduanya ke Mekah bersama-sama anak dan isterinya. Walau bagaimanapun, dengan kehendak Allah, isteri dan anak lelakinya yang tercinta itu telah meninggal dunia sebelum sempat mereka menunaikan fardhu haji.

Meskipun, keadaannya sedih sekali, Sheikh Osman tetap tinggal di Makah dan melanjutkan pelajarannya dengan tekun. Beliau mempelajari ilmu Hadith dan Tafsir daripada Sheikh Umar Hamdan dan Sheikh Ali Maliki.Gurunya dalam bidang Fiqh ialah Sheikh Sai'd Yamani, yakni Mufti bagi Mazhab Syafi'i, di Mekah. Dalam pada itu, beliau mempelajari kitab Tuhfah daripada Sheikh Muktas 'Atarid Al-Jawi dan kitab Mahalli daripada Sheikh Muhammad Patani. Melalui kegigihannya dan berkat doanya kepada Allah, dia telah diterima untuk mengajar di Masjidil Haram, Mekah iaitu di kawasan Qasyasyiah dan Suqullail.

Sejurus kemudian, beliau berkahwin dengan Hajjah Sarah bt.Hj Mohd Salleh. Melalui perkahwinan ini, beliau telah menemui ketenangan yang membantunya untuk terus mengajar dengan lebih tekun. Selain daripada sibuk mengajar,dia juga pernah beriktikaf di makam Rasulullah s.a.w pada hari-hari Jumaat. Biasanya dia beriktikaf daripada waktu Isyak sampai Subuh, manakala pada siang hari beliau berpuasa. Ketika beriktikad itulah, dia telah memohon doa agar Allah memberikannya kekayan ilmu kekayan amalan dan akhir sekali menemui maut sama ada di Mekah atau Madinah.

PENUBUHAN PONDOK MANABI'UL-ULUM
Setelah beberapa lama mengajar di Masjidil al-Haram, nama Syeikh Osman semakin menjadi terkenal. Ramai jema'ah haji Melayu dan Indonesia yang mengunjungi serta mengikuti kuliah agamanya. Sementara itu, Hj.Arshad dan Hajjah Tijah, dua orang jema'ah haji dari Penanti, Bukit Mertajam, Seberang Perai, telah datang menemui Syeikh Osman dan memintanya padanya supaya datang untuk mengajar di daerah Penanti. Mereka yang bersuami isteri itu berjanji untuk menolongnya bagi mendapat tanah agar sebuah pondok pengajian agama didirikan.

Melihat akan keikhlasan kedua-dua orang itu Syeikh Osman terasa terharu. Beliau langsung meminta Allah s.w.t dengan menunaikan solat istikharah. Demikianlah, tindakan yang diambil oleh seorang hamba yang soleh apabila dia perlu melakukan sesuatu pilihan terhadap apa yang ingin dikerjakan. Beliau tidak terburu-buru dalam mengambil keputusan. Sebaliknya, dia berdoa sambil bertawakkal kepada Allah. Setelah mendapat alamat yang baik, dia membuat keputusan untuk kembali ke Tanah Melayu(Malaya) dan bermukim pula di Penanti. Beliau merasakannya bahawa kedatangannya ke Penanti adalah satu petanda yang doanya di makam Rasulullah s.a.w telah di kabulkan, iaitu memberikannya kesempatan untuk mempertingkatkan amalan ibadat serta menyebarkan ajaran islam.

Dengan persetujuan keluarganya, Syeikh Osman berangkat ke Penanti. Di Penanti, sebuah daerah yang terpencil dan aman, beliau mendirikan sebuah pondok yang di beri nama "Manabi'ul Ulum Wa Mathali' Al-Nujum" (Tempat Terpancarnya Ilmu Pengetahuan dan Tempat Munculnya Bintang-bintang).

Nama itu merupakan satu doa daripadanya kepada Allah,yakni agar pondok itu menjadi sebuah tempat yang menerbitkan 'ulama' dan para pembela islam. Pondok itu telah didirikan di atas sebuah tanah yang di wakafkan oleh Hj Arshad dan Hajjah Tijah pada tahun 1932M. Pada peringkat awalnya, ia menampung sekadar 50 orang murid. Namun begitu, masalah terus menimpa. Setelah pondok itu berjalan buat beberapa lama dan ia dikunjungi oleh para pelajar dari berbagai tempat, maka berlakulah pula satu pengkianatan. Dengan takdir Allah seorang pengkhianat telah menyelewengkan pertukaran nama tanah Hj Arshad itu kepada namanya sendiri.

Setelah nama tanah itu menjadi miliknya, beliau mengusir Syeikh Osman dari situ. Dengan perasan sedih, Tuan Guru itu terpaksa berpindah ke satu tempat bernama Kampung Petani. Segala pondok yang didirikan dengan titik peluh Syeikh Osman dan para muridnya diusung ke tapak yang baru itu. Tetapi sejurus kemudian berkat keikhlasan Hj Arshad, krisis tersebut dapat di selesaikan. Pengkianat itu telah dihukum dan tanah wakaf tersebut di serahkan kembali kepada Syeikh Osman. Sejak itu pondok Manabi'ul Ulum beroperasi kembali dengan pesatnya sehingga ramai pelajar yang datang untuk belajar di sana dari seluruh Malaysia, Indonesia mahupun Thailand.

SISTEM PENDIDIKAN DAN KEGIATAN MENGAJAR.
Syeikh Osman menumpukan sepunuh tenaganya untuk mengajar siang dan malam baik melalui pidato atau penulisannya Hj Abdul Rahman Lubuk Tapah, seorang bekas muridnya di Mekah dan Muhammad

bin Taib, bekas muridnya di Penanti dan bekas Wakil Rakyat, menyatakan bahawa Syeikh Osman menghabiskan banyak masanya untuk membaca kitab-kitab dan di tangannya sentiasa terdapat sebatang kalam.

Hal yang sama juga telah dinyatakan oleh Hj Hashim bin Hj Sa'ad, seorang tenaga pelajar di Madrasah Manabi'ul Ulum. Pada zaman Syeikh Osman, pelajaran agama yang disampaikan itu hanya bersifat umum (umumi). Dalam sistem yang demikian, para pelajar belajar secara berkumpulan di hadapan gurunya, tanpa mengira tahap keilmuan yang ada pada mereka. Sistem yang mengasingkan para pelajar mengikut tahap pelajaran mereka ke dalam kelas-kelas yang hanya dimulai selepas Tuan Guru Hj Abdul Muttalib bin Hj Puteh mengambil alih tugas sebagai mudir di madrasah tersebut. Biasanya, Syeikh Osman mulai mengajar selepas waktu Subuh dan hanya berhenti untuk makan sebelum masuknya waktu Zohor. Kemudiannya, beliau menyambung semula pelajaran sekitar pukul 2.00 petang sehingga pukul 6.00 petang. Namun, hanya sebahagian sahaja daripada para muridnya yang mengikuti pengajian pada lewat petang. Yang lainnya berehat atau bermain bola.

Pada waktu sebelah malam, Syeikh Osman mengajar daripada selepas Maghrib hinggalah ke tengah malam. Demikianlah, jadual pembelajarannyayang dilaksanakannya sendiri, melainkan jika terdapat sesuatu keuzuran seperti kematian, menziarahi orang sakit atau ketika beliau menulis buku. Dalam pada itu, dia pernah dibantu oleh menantunya Tuan Guru Hj Abdul Mutthalib bin Hj Puteh dan beberapa orang pembantu, termasuk:

1. Tuan Hj Ishak bin Hj Salleh. (Guar lobak,Kedah)
2. Tuan Hj Sa'id (Seberang Perai)
3. Tuan Hj Abdullah Langgar (Kedah)
4. Tuan Hj Ismail Bagan Datuh (Perak)
5. Tuan Hj Umar Mayah (Perak)
6. Tuan Hj Ahmad (Kedah)
7. Tuan Hj Mahmud (Alor Setar, Kedah)
8. Tuan Hj Hashim Hj Sa'id. (Kedah)
9. Tuan Hj Abdul Rahman (Kelantan)

Diantara murid-muridnya terdapat juga kaum wanita. Tetapi pengajian bagi kaum wanita adalah terhad kepada asas-asas islam, yakni meliputi soal fardhu ain dan diadakan pada hari Jumaat, jam 9.30-11.00 pagi. Dalam mengendalikan pengajiannya, Syeikh Osman pernah mengguna hampir 25 buah buku rujukan dalam masa sehari semalam. Antara kitab-kitab itu termasuklah Al-Iqna', Al-Tuhfat, Ihya','Ulumuddin, An-Nihayah dan tafsir-tafsir seperti Al-Shawi serta Al- Badhawi. Kebanyakan daripada kitab-kitab itu dipesannya dari Makkah, Kelantan mahupun Pulau pinang. Meskipun beliau dalam berbagai bidang, namun kepakarannya adalah Fiqh. Berikutnya, beliau menampung pembelajarannya dengan kitab-kitab susunannya sendiri. Untuk membiayai segala aktiviti di pondoknya itu, beliau bergantung kepada sumbangan zakat dan fitrah atau sedekah yang diberi oleh para penduduk Kubang Ulu, Kubang Semang dan kawasan sekitar Bukit Mertajam. Beliau juga mengenakan yuran sebanyak $3.00 bagi membeli minyak tanah yang diperlukan oleh para murid ketika mereka bermutala'ah. Sebahagian daripada pendapatan diperolehi juga olehnya melalui penjualan karya-karya yang dituliskannya sendiri. Oleh kerana, beliau sering hidup secara sederhana, maka pendapatan-pendapatan yang diperolehi itu adalah mencukupi.

Semasa mengajar, beliau tidak suka membuang waktu dan amat menjaga agar pengajian dimulakan dengan waktu yang tepat. Lantaran itu,beliau menggoncangkan loceng isyarat permulaan pengajian apabila sistem ini diperkenalkan pada zaman akhir hayatnya. Segala program pengajian di berhentikan pada seluruh bulan puasa bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada amal ibadat puasa dan solat terawikh serta tilawah al-Quran. Sementara itu, pada zaman jepun, iaitu ketika Perang Dunia Kedua sedang berkecamuk, kegiatan pengajian juga diberhentikan,melainkan untuk beberapa orang murid yang tinggal berdekatan dan sanggup untuk belajar dari masa ke semasa secara sembunyi-sembunyi.

Disamping itu, pada suatu ketuka pihak berkuasa British yang menjajah Malaya ketika itu pernah memerhati aktiviti-aktiviti pengajian di pondok Sheikh Osman. Mereka berasa curiga melihat kehadiran orang-orang Melayu yang begitu ramai untuk mengikuti pengajian. Namun, sejurus kemudian, segala pengintipan telah diberhentikan apabila mereka gagal untuk mengesan sesuatu yang berbau politik dan dikira dapat mengancam keselamatan negara.

KEGIATAN MENULIS SEBAGAI ALAT DAKWAH
Disamping berpidato, Sheikh Osman telah menumpukan tenaga dan fikirannya untuk berdakwah secara tulisan.Ini dilakukan bukan sahaja kerana cintanya kepada sastera,malah dia bergiat untuk membasmikan Khurafat, Bidaah serta penyelewengan yang berada di tengah-tengah masyarakat. Dalam kitabnya, Misbah Al Hana Wa Miftah Al Jinan, antara lain dia menulis:
"Ayuhai ikhwan jangan tuan hamba diperdayakan dengan segala ahli tasawwuf yang jahil, yang mendakwakan pada mereka itu ilmu isi yang sebenar dan iaitu ilmu rahsia, ertinya ilmu hakikat kerana bukannya ilmu hakikat bahkan ilmu Bidaah yang sesat yang mengada-adakan akan dia oleh orang yang mubtadi'(pembuat bidaah) yang dahulu kala kerana hendak menyiksa akan orang-orang yang Islam. Maka jika tuan hamba dapat yang pelik-pelik daripada yang tiada mempunyai ilmu,janganlah tuan hamba memakai akan dia melainkan kemudian daripada mengesahkan dia pada orang alim yang masyhur dengan ilmunya kerana tiada dimengetahuikan ilmu yang sebenarnya atau tiadanya melainkan orang yang alim".

Selain daripada itu, beliau tidak suka melihat kaum muslimin berpecah-belah. Lantaran itu, melalui tulisannya dia berdakwah ke arah perpaduan.untuk mengatasi perselisihan faham di kalangan umat Islam, beliau mengarang kitab-kitab yang mengulaskan isu-isu yang sebenarnya. Setelah selesai mengarang, beliau biasanya berpidato di tempat yang menjadi sasarannya sambil menjual kitab-kitab itu dengan harga yang murah. Antara lain, beliau pernah menulis dalam bukunya, Matali'Al Anwar Wa Majami'A-Azhar: "Maka tatkala adalah pada tahun 1351(H)maka kami turun ke Jawi (Malaysia) pula, maka kami mendapatkan padanya berpecah-pecah kaum kami beberapa puak dan beberapa perselisihan di antara mereka itu. Maka oleh setengah daripada kaum kami A'uzubillahminattaqlid".

Beliau juga menambah, ada pula golongan yang berpendapat, "Bahawa fiqh itu karut-karut bagi ulamak-ulamak fiqh dan bahawasanya imam yang empat itu ketiadaan ma'sum kerana mereka itu bukanlah nabi dan bukan pula sahabat nabi". Untuk menghilangkan kekeliruan yang muncul di kalangan anggota masayarakat Islam beliau telah menulis dan menjelaskan dengan terperinci tentang pendapat-pendapat golongan Wahabi Ibnu Hazm dan Ibnu Taimiyah serta mengulaskan perbezaan-perbezaan pandangan mereka ini dengan ahlul sunnah.

Dia juga mengupas tentang mazhab-mazhab Syiah Zaidiah, Syiah Imamiah dan sebagainya. Namun beliau selalu menasihat anggota masyarakat agar mengikut ajaran-ajaran Ahlul Sunnah. Berkaitan dengan tasawwuf pula, dia telah melahirkan pandangan-pandangan yang moden kerana Zahid baginya bererti tidak meninggalkan kerja dan tidak meninggalkan perniagaan. Misalnya, beliau menegaskan: "Zahid iaitu ketiadaan bergantung hati dengan harta jikalau banyak hartanya sekalipun dan bukan zahid itu ketiadaan harta dan meninggalkan berniaga dan lain-lain" (Misbah Al Hanan Wa Miftah Al Jinan,hal 17-18).

Semasa bergiat untuk menghapuskan khufarat dan ajaran-ajaran sesat, beliau terpaksa bermusafir ke seluruh Malaysia Barat, terutamanya ke Kelantan, Melaka, Terengganu, Johor, Selangor dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dia tidak menghadapi masalah kerana murid-muridnya sentiasa membantu beliau dimana jua dia berada. Dengan usaha yang gigih itu,dia berjaya mengikiskan segala kekeliruan dan membawa pandangan Islam yang sah.

Mengikut kebiasaannya,Syeikh Osman memulakan karyanya dengan menurunkan syair-syair yang panjang. Setelah selesai menulis syair-syair barulah dia membincangkan tentang tajuk karangan yang sebenarnya. Dalam pada itu, semasa mengulas Tafsir Jalalain beliau memberi petikan-petikan dalam Bahasa Arab dan disusuli pula dengan maknanya sekali dalam Bahasa Melayu dalam paragraf-paragraf berikutnya. Begitulah struktur penulisan yang diulang-ulangkannya dalam kitab tafsir.

BUKU-BUKU KARANGAN SYEIKH OSMAN
Syeikh Osman memangnya merupakan seorang sasterawan yang berkebolehan luar biasa. Semasa hayatnya, dia telah menghasilkan lebih daripada sepuluh buah karya dalam Bahasa Arab mahupun Bahasa Melayu. Meskipun bahasa yang dipakainya adalah mengikut stail atau lenggok Bahasa Melayu lama, namun mesej yang dibawanya adalah mudah untuk difahami. Karya-karyanya adalah seperti berikut:

1. Mir'at al-Iman wa Mirqat al-Ghilman (Cermin bagi Iman dan Tangga bagi Kanak-Kanak). Buku ini membahas tentang Tauhid, tasawwuf dan menolak pendapat-pendapat yang karut dan bid'ah. (Selesai dikarang pada 16 Sya'aban,1339 H).
2. Misbah al-Hanan wa Miftah al-Jinan (Pelita bagi Hati dan Kunci bagi Syurga). Pembicaraanya dalam bidang tasawwuf dan pembersihan hati. (Selesai dikarangkan di Kelantan pada 29 Zulhijjah, 1330 H).
3. Siraj al-Islam wa Taj al-Ghulam (Pelita bagi Islam dan Mahkota Kanak-Kanak). (Mengandungi Sejarah Nabi s.a.w)
4. Fath al-Mu'in Arab Melayu. Buku ini terjemahan dari Fath al-Mu'in bahasa Arab. Sempat diselesaikan sebanyak tiga kulit. Selain daripada menterjemah, Syeikh Osman telah mencatat sejarah-sejarah fiqh dan adat-adat serta fadhilat-fadhilat belajar. Buku ini dikarang di Makkah. Juzuk pertama bertarikh 1 Zulkaedah 1354, juzuk kedua 14 Rabiul Awwal, 1355 dan juzuk ketiga 12 Jumadil Awwal 1355.
5. Nujum al-Muhtadim wa Rujum al-Mu'tadin. Buku ini mengandungi sejarah para rasul dan membahas tentang kaum muda dan kaum tua. (Dikarang pada 8 September,1934).
6. Matali' al-Anwar wa Majami' al-Azhar. Mengandungi tarikh alim ulama', perpecahan alim ulama', perselisihan Mazhab Wahhabi, Ibnu Hazm dan Ibnu Taimiyah dan Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah serta sejarah dirinya sendiri. (Dikarang pada tahun 1353 H).
7. Anwar al-Huda wa Amtar al-Nada (Beberapa Cahaya bagi Penuntut dan Hujan bagi Embun)terjemahan Tafsir Jalalain. Juzuk pertama pada 18 Ramadhan, 1355 dan juzuk kedua pada 11 Syawal,1354.
8. Al-Syarh al-Kabir-Bahasa Arab.Buku ini dibuat taqyid dan hasyiah untuk menjelaskan kandungannya dengan bentuk syarah yang pendek. (Dikarang pada 16 Syaaban,1358).
9. Tasrif al'Arffi Tasrif al-Sarf-bahasa Melayu (Pilihan dari Bau-bauan yang harum pada Tasrif Ilmu Saraf. Buku ini dikarang dalam bahasa Arab berbentuk syair, kemudian diterjemahkan ke Bahasa Melayu sebagai kaedah untuk kemudahan para pelajar saraf.
10. Alamat-Alamat Kiamat. Buku ini membicarakan tentang alamat-alamat kiamat (15 perkara) termasuk kedudukan alim ulamak, yakni ulamak dunia dan ulamak akhirat, masalah syurga, neraka dan sebagainya.

PERIBADI SYEIKH OSMAN
Sebagai seorang individu, Syeikh Osman memiliki watak yang sederhana. Dalam kehidupan seharian, beliau menjalankan yang sederhana, yakni tidak berlebih-lebihan dari segi makanan, tidur mahupun berpakaian. Namun begitu, dia amat mencintai ilmu dan dengan itu gemar untuk mengumpul buku-buku agama. Perbualannya juga menjadi rancak dan lantang apabila mengupaskan sesuatu tentang Islam. Sifatnya yang sederhana itu terus ditanamkannya dikalangan anggota keluarga serta para muridnya. Beliau sendiri tidak suka bermewah dan dia mengarahkan orang-orang lain di sekitarnya agar jangan bermewah.

Pada suatu waktu,dia pernah menegur seorang anak muridnya yang menyediakan tilam dan bantal secara yang agak mewah di pondok kediamannya sendiri. Misalnya beliau pernah berkata, "Kalau nak siap tilam dan bantal yang cantik-cantik begini, tak payah belajar".

Beliau melakukan demikian kerana dia ingin melihat anak muridnya itu hidup secara sederhana dan beljar bersusah payah ketika menuntut ilmu serta tidak leka dengan kemewahan dunia. Dalam pada itu, beliau mengutamakan disiplin dikalangan muridnya. Antara lain, dia pernah memarahi mereka yang berambut panjang dan mengarahkan setiap murid lelaki menyukurkan kepalanya hingga botak. Hal ini ditekankan kerana beliau ingin melihat para muridnya menumpu perhatian kepada pelajaran dan tidak menghabiskan waktu untuk berhias-hias serta bagi mengelakkan tersebarnya kutu.

Disamping itu, Syeikh Osman merupakan seorang yang warak, kuat beribadat dan gigih dalam tugas-tugas dakwahnya. Menurut muridnya, Hj Yusuf bin Hj Said (Bekas mudir Madrasah Irayad Al-Ishraf Al-Wataniah, Sungai Bakap), Syeikh Osman biasanya membaca surah Yasin, surah Waqi'ah dan surah Baraah (al-Taubah). Beliau berdoa dan berzikir pada tiap-tiap malam jumaat. Dia juga membaca salawat Dalail al-Khairat, solat tahajjud, solat dhuha dan berpuasa pada hari isnin dan Khamis. Disamping itu, dia gemar bersolat jemaah dan sering memerintah anak muridnya Hj Talib bin Hj Puteh atau Hj Abdul Rahman Sungai Durian untuk menjadi imam, manakala beliau sendiri selaku makmum.

Meskipun, kehidupannya sentiasa sibuk, yakni dipenuhi dengan aktiviti mengajar dan menulis, dia tidak pernah memencilkan diri daripada masyarakat. Beliau sering melawati orang sakit menunaikan solat jenazah dan menghadiri kenduri-kenduri. Oleh kerana perhubungannya dengan masyarakat sekitar adalah intim (mesra)sekali, dia dipanggil oleh penduduk-penduduk desa dengan gelaran 'Pak Tuan'. Sebagai tanda hormat, mereka juga mengucup tangannya apabila ada peluang untuk bersalam-salaman.

Dalam pada itu, Syeikh osaman tidak gemar untuk berbual soal politik. Dia tidak juga melibatkan dirinya dalam sebarang majlis ijtima' bersama-sama dengan ulama' yang lain. Misalnya, mungkin kerana terlalu sibuk, beliau pernah menolak jemputan Tuan Hj.Salleh Masri, mudir dan Tuan punya Madrasah Masriyah, Bt.Mertajam, untuk menyertai suatu ijtima'. Sekiranya, tiada apa-apa urusan da'wah di luar Penanti, beliau lebih suka menghabiskan waktunya untuk mengajar dan menulis di pondoknya sendiri.

Setelah berjuang dengan gigihnya untuk menyebarkan risalah Islam, Syeikh Osman telah pulang ke rahmatullah di Makkah al-Mukarramah pada waktu Subuh pada tahun 1952. Beliau meninggal dunia ketika usianya 72 tahun. Berikutnya, jenazahnya telah dikebumikan di Haudh al-Naqsyabandiyah berhampiaran dengan makam gurunya Syeikh Muhammad Mukhtar 'Atarid.

Demikianlah, walaupun jasadnya sudah tiada, ilmu yang ditinggalkannya melalui karya-karya tulisan dan para muridnya, termasuk puteranya sendiri, Tuan Guru Hj.Salleh Penanti, terus berkembang bagi melahirkan tokoh-tokoh agama yang baru. Malahan, kesan daripada usahanya yang gigih itu terus membuahkan perkembangan yang positif, yakni ada diantara murid-murid lulusan pondoknya yang diterima untuk belajar di Universiti Madinah dan Ma'ahad al-Makki, kedua-duanya institusi pengajian agama yang terkenal di Arab Saudi.

PENUTUP
Melalui perbincangan yang telah dilakukan itu dapatlah kita rumuskan bahawa Syeikh Osman Jalaluddin memangnya telah memberi sumbangan yang besar terhadap umat Islam dalam bidang da'wah dan pendidikan, khususunya di daerah Pulau Pinang dan Malaysia amnya. Ini dapat dilihat dengan jelasnya melalui kegiatan-kegiatan syarahan,mengajar dan penulisan yang dilakukannya sejak beliau di Makkah hinggalah dia bergerak secara aktif dalam menguruskan pondoknya sendiri di Penanti.

Melalui usahanya yang gigih, beliau telah berjaya untuk mempertingkatkan keupayaan celik huruf dan kesedaran untuk mengamalkan prinsip-prinsip Islam di kalangan para muridnya dan juga masyarakat sekelilingnya. Dengan bimbingan dan tunjuk ajarnya juga, akhirnya telah muncul tokoh-tokoh agama yang turut berkhidmat kepada masyarakat. Antara mereka ini termasuklah putranya sendiri, Tuan Guru Hj.Salleh, Almarhum Hj. Abdul Muttalib bin Hj. Puteh, menantu dan penggantinya sebagai mudir di Pondok Manabi' al-'Ulum, Almarhum Hj. Yusuf bin Hj Sa'id, bekas Mudir Madrasah Irsyad al-Isyrafal-Wataniah, Hj.Tahir, bekas Mufti Selangor dan Tuan Guru Hj.Abdullah yang pernah mengajar di Langgar Kedah.

Dalam pada itu, beliau juga telah memainkan peranan yang amat positif, yakni dengan memberi perhatian kepada masalah-masalah kemasyarakatan. Misalnya,beliau telah bergaul dengan anggota-anggota masyarakat dan turut memperlihatkan keperihatinannya terhadap isu-isu seperti perpecahan umat, khurafat dan bid'ah. Sehubungan dengan ini, beliau telah menulis dan memperjelaskan tentang bahayanya perpecahan antara sesama Islam, dan memaparkan tentang keburukan khurafat dan bid'ah. Beliau menyeru kearah perpaduan dan menasihatkan umat Islam agar berpegang kepada ajaran Ahl al-Sunnah.

Walau bagaimanapun, beliau masih tergolong dalam kumpulan ulamak Nusantara yang disebutkan oleh para sarjana, termasuk Prof.Madya Mohd.Nor bin Ngah dari Jabatan Pengajian Islam, Universiti Malaya, sebagai ulamak Kitab Jawi. Dalam hal ini, beliau sebenarnya menyambungkan satu tradisi yang telah diusahakan dengan gigihnya oleh para tokoh besar seperti Syeikh 'Abdus Samad al-Falimbani (dari Palembang), Syeikh Daud al-Fatani (dari Patani), Syeikh Nawawi Banten, Tok Kenali dan sebagainya. Segala ulamak ini mewakili tradisi ulamak Makkah sejak zaman-berzaman yang lampau. Tetapi, berbeza dengan Syeikh Tahir Jalaluddin dan rakan-rakannya daripada kalangan yang digelarkan sebagai "Kaum Muda", dia tidak memperkatakan soal politik, seumpamanya sebab-musabab kemunduran umat Melayu dan masalah kemerdekaan. Beliau juga tidak berkempen untuk kemajuan ekonomi orang Melayu seperti yang dilakukan oleh Syeikh Tahir, misalnya, di daerah Padang Rengas, Perak.

Namun demikian,sumbangan Syeikh Osman tidaklah boleh diperkecilkan. Kegigihannya mengajar dan berda'wah secara tulisan sepatutnya dihargai dan dicontohi oleh generasi yang terkemudian. Karya-karyanya perlulah dibaca dan diteliti agar apa yang baik dimanfa'atkan terus dan yang kurang diperbaiki. Segala khazanah peninggalanya itu tidaklah patut dibiarkan hilang, malah segala usaha patutlah dibuat oleh individu-individu mahupun institusi-institusi Islam seperti majlis-majlis agama, pejabat-pejabat agama, persatuan sejarah dan sebagainya untuk memelihara dan mempopularkan karya-karya yang berharga itu.

Tetapi, sayugialah ditegaskan bahawa dengan hanya bernostalgia atau mengenangkan kembali peristiwa-peristiwa lama tanpa mengusahakan yang positif untuk zaman kini adalah merugikan. Disamping mengenangkan jasa dan menghormati ulamak silam seperti Syeikh Osman, kita perlulah juga mengorak langkah untuk mendalami ilmu-ilmu Islam dan mengaitkan semuanya dengan keperluan-keperluan semasa secara luas dalam menangani persoalan pambangunan umat yang muttaqin dan berwibawa diatas muka bumi ini. Tanpa sebarang usaha yang demikian, kita akan terus lemah dan mudah sekali diperkotak-katik serta dikuasai oleh para musuh Islam.