Kenangan di Manabi Ul Ulum: Detik-detik Kenangan Yang Tidak Dapat Saya Lupakan

Dr Radhi Osman

Oleh: Dr. Mohd. Radhi Haji Osman, USM

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. di atas nikmatnya yang sentiasa mencurah-curah. Bersempena perayaan ulangtahun yang ke limapuluh tujuh Madrasah Manabi’ul Ulum Penanti (tahun 1988), kesempatan yang diberikan kepada saya untuk memenuhi ruangan ini amatlah saya hargai.

Saya adalah salah seorang dari penuntut yang telah menumpang buat beberapa ketika dahulu di bawah teduhan serambinya yang sungguh memberi pengajaran kepada saya dalam meneruskan pelajaran, hinggalah ke saat ini.

Dengan taufiq dan hidayat daripada Allah, pada awal tahun 1971, hati kecil saya telah digerakkan untuk singgah sebentar di madrasah ini semasa dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang kerana melihat beberapa orang sahabat yang akan berangkat ke Mekah al-Mukarramah untuk menunaikan Haji. Dari sinilah perhatian saya mula beralih kepada keinginan untuk melanjutkan pelajaran saya ke madrasah ini. Justeru itu perbualan di antara saya bersama guru saya ustaz Osman Hj. Adam dan Tuan Guru Haji Saleh, lebih banyak menumpukan kepada soal-soal pelajaran, masadepan penuntut-penuntut madrasah ini. Di mana madrasah ini mempunyai hubungan langsung dengan Universiti Islam Madinah al-Munawarah, Arab Saudi. Dengan ini semangat saya untuk meneruskan pelajaran semakin bertambah, lebih-lebih lagi dorongan dari Tuan Guru Hj Saleh sendiri. Semangat dan cita-cita ini tidak dihampakan oleh harapan keluarga dan sanak saudara di kampung. Galakan terus menerus disogok, hinggalah cita-cita saya menjadi kenyataan pada pertengahan tahun 1971.

Pengajian saya di madrasah ini dapat saya mulakan dengan kuliah pertamanya, iaitu kuliah subuh yang disampaikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Wahab yang membaca dua buah kitab, iaitu:
1. Syarah Ibnu Aqil Alal Alfiyah Ibni Malik
2. Tafsir Jalalain.

Alhamdulillah pengajian ini sentiasa berterusan hingga ke hari ini. Dengan berkat apa yang saya perolehi di sinilah pada akhirnya banyak membantu pengajian saya di masa hadapan, hingga ke hari ini. Sekali lagi saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t., semoga dengan ilmu pengetahuan ini dapat dimanfaatkan kepada diri saya, umat Islam amnya dari jasa baik dua ibubapa, guru-guru yang telah saya pelajari dari mereka…..