Elak kejadian lemas berulang

BALIK PULAU 20 Jan. - Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan Taman Negara Pulau Pinang esok bagi membincangkan langkah-langkah keselamatan yang lebih efektif untuk mengelak kejadian lemas di Pantai Keracut, Teluk Bahang, daripada berulang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata, pihaknya mahu garis panduan keselamatan yang lebih tegas diambil bagi menjamin keselamatan semua pengunjung terutamanya pelancong yang bertandang ke Taman Negara Pulau Pinang.

Katanya, kejadian lemas seperti yang berlaku Sabtu lalu telah beberapa kali berulang di kawasan pantai berkenaan.

"Mungkin melalui pertemuan ini kita boleh membincangkan mengenai langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil pihak taman negara.

"Kalau perlu mungkin kita boleh wartakan kawasan pantai berkenaan sebagai lokasi larangan untuk mandi-manda," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Taman Negara itu di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.15 petang Sabtu lalu, tiga orang mati lemas akibat dihanyut ombak dalam satu perkhemahan di Pantai Keracut.

Terdahulu, Ketua Wanita UMNO negeri, Norliza Abdul Rahim bersama skuad Sayang turut meluangkan masa melawat keluarga mangsa yang terlibat di pekarangan Taman Negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140121/dn_28/Elak-kejadian-lemas-berulang#ixzz2qz6PmGaI

Tags: